Zaman Heian

Inti Sari

Mark Cartwright
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 05 May 2017
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Bahasa Indonesia
Phoenix Hall, Byodo-in (by 663highland, CC BY-SA)
Dewan Phoenix, Byodo-in
663highland (CC BY-SA)

Dalam sejarah Jepun, Zaman Heian bermula pada tahun 794 hingga 1185 M dan zaman ini menyaksikan berlakunya perkembangan yang besar dalam kebudayaan Jepun, baik dalam bidang sastera mahupun bidang lukisan. Pemerintahan dan pentadbiran zaman ini didominasi oleh klan Fujiwara yang kemudiannya dicabar oleh klan Minamoto dan Taira. Zaman yang dinamakan bersempena ibu kota Heiankyo ini ditutup tirainya dengan Perang Genpei yang menyaksikan kemenangan Minamoto sekaligus penubuhan Keshogunan Kamakura oleh ketua mereka, iaitu Yoritomo.

Berpindah Dari Nara Ke Heiankyo

Pada Zaman Nara (710-794 M), pemerintahan diraja Jepun dilanda masalah-masalah dalaman yang dipicu oleh pertelingkahan sesama bangsawan yang berebutkan kedudukan dan pengaruh. Tidak cukup begitu, pengaruh besar yang dimiliki oleh aliran-aliran Buddha juga turut menjejaskan autoriti pemerintah khususnya di sekitar ibu kota. Keadaan ini mendorong Maharaja Kammu (memerintah 781-806 M) untuk memindahkan ibu kotanya dari Nara ke Nagaokakyo (secara sementara) dan kemudian ke Heiankyo pada tahun 794 M demi membuka lembaran baru dan membebaskan pentadbiran-diraja dari korupsi dan pengaruh agama Buddha. Perpindahan ini menandakan bermulanya Zaman Heian yang berpanjangan sehingga kurun ke-12 M.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Kota Heiankyo membawa maksud 'ibu kota keamanan dan ketenteraman'. Ia dibangunkan mengikut reka bentuk bandar terancang. Kota ini mempunyai sebuah dataran pusat yang luas yang membahagikan antara bahagian timur dan barat. Seni binanya pula banyak mengikut pengaruh China dengan kebanyakan bangunan pentadbiran mempunyai tiang-tiang berwarna merah lembayung yang berfungsi untuk menyokong bumbung berjubin hijau. Rumah-rumah kediaman bersifat lebih sederhana dengan berbumbungkan atap jerami. Sementara itu, golongan bangsawan mempunyai istana yang dilengkapi dengan lanskap indah sambil di bahagian selatan istana diraja pula didirikan sebuah taman untuk beristirehat (Daidairi). Di pusat kota, tidak dibenarkan satu pun kuil Buddha dibina dan kebanyakan kediaman artisan dibangunkan bersama bengkel-bengkel kerja untuk golongan karyawan, penempa logam, dan penghasil tembikar.

Kyoto kekal menjadi ibu negara Jepun selama seribu tahun.

Pada hari ini, tiada bangunan di Heiankyo dari Zaman Heian yang terselamat kecuali Shishin-den (Dewan Menghadap) yang pernah mengalami kehancuran akibat kebakaran namun dibina semula mengikut ciri-ciri lama dan Daigoku-den (Dewan Negara) yang juga mengalami nasib sama namun dibina semula pada skala kecil di Bangunan Suci Heian. Pada kurun ke-13 M, nama Kyoto yang membawa maksud 'ibu kota' mula digunakan dan ia kekal sebagai ibu negara Jepun selama seribu tahun.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Pentadbiran Di Zaman Heian

Kyoto merupakan pusat bagi sebuah pentadbiran yang dianggotai oleh maharaja, pegawai-pegawai tinggi, majlis negara dan lapan orang menteri yang dengan bantuan badan birokasi, memerintah kira-kira 7,000,000 orang rakyat yang menetap di lebih 68 buah wilayah yang setiap satunya ditadbir oleh seorang gabenor dan bahkan, setiap wilayah itu dipecahkan lagi kepada lapan atau sembilan buah daerah. Umumnya di Jepun, rakyat jelata tidaklah menjalani kehidupan yang senang seperti golongan bangsawan. Kebanyakan mereka mengusahakan tanah, sama ada milik sendiri atau milik orang lain, dan mereka turut dibebani dengan cukai-cukai yang tinggi dan ancaman perompak. Pemberontakan seperti yang berlaku di Kanto di bawah pimpinan Taira no Masakado pada tempoh 935 hingga 940 M bukanlah satu situasi yang pelik di negara tersebut.

Model of Kyoto
Model Kyoto
Wikiwikiyarou (Public Domain)

Dasar pengagihan tanah-tanah awam yang dilaksanakan pada kurun-kurun yang lalu dibubarkan menjelang kurun ke-10 M, dan kesan susulannya, saiz tanah yang dimiliki oleh orang-perseorangan semakin meningkat. Menjelang kurun ke-12 M, 50% tanah di negara tersebut dimiliki oleh orang-perseorangan (shoen) dan kebanyakannya dikecualikan dari cukai atas faktor mempunyai hubungan dengan orang dalam atau faktor-faktor keagamaan. Pemilik-pemilik tanah yang kaya juga sentiasa dibukakan peluang untuk mendapatkan dan membangunkan tanah baru sekaligus hal ini meningkatkan lagi kekayaan mereka serta meluaskan lagi jurang antara golongan berada dan kedana. Situasi ini juga memberikan kesan langsung terhadap politik negara memandangkan kebanyakan pemilik tanah menetap di Heiankyo sekaligus berada jauh dari tanah yang mereka miliki. Dalam erti kata lain, tanah-tanah milik mereka diusahakan oleh orang bawahan yang tentunya, menyimpan hasrat mahu meningkatkan kekuasaan mereka sendiri. Hal ini seterusnya membuatkan golongan bangsawan dan maharaja semakin terpisah dari kehidupan seharian masyarakat. Kebanyakan interaksi antara rakyat awam dan autoriti pusat hanya terhad sekadar membayar cukai kepada pengutip cukai dan bergeseran dengan pasukan polis bandar yang tidak hanya bertanggungjawab mengekalkan keamanan, tetapi juga mendakwa dan menghukum penjenayah.

Sisihkan Iklan
Advertisement
Ramai menteri dari kalangan Fujiwara bertindak selaku pemangku buat tiga atau empat orang maharaja sepanjang karier mereka.

Bahkan di istana sekalipun, maharaja kian dikesampingkan walaupun kedudukannya masih dianggap penting. Hal ini berpunca daripada dominasi bangsawan-bangsawan berpengaruh yang kesemuanya berasal dari satu keluarga besar yang sama, iaitu klan Fujiwara. Tokoh-tokoh seperti Michinaga (966-1028 M) bukan hanya menguasai lembaga-lembaga penggubal dasar dan badan-badan pentadbiran seperti jabatan perbendaharaan istana (kurando-dokoro), namun mereka turut mengahwinkan anak-anak gadis mereka dengan maharaja. Kelunturan pengaruh maharaja diburukkan lagi dengan pelantikan maharaja-maharaja yang masih berusia kanak-kanak sekaligus hal ini menuntut kehadiran seorang pemangku (Sessho) yang biasanya dilantik dari kalangan keluarga Fujiwara. Bilamana maharaja tersebut mencapai usia dewasa, kuasa dan autoritinya dihadkan lagi oleh satu pegawai lain, disebut sebagai Kampaku, yang bertujuan memastikan klan Fujiwara terus mendominasi percaturan politik istana. Untuk menjamin dominasi sebegini berkekalan, maharaja-maharaja ditabalkan bukan berdasarkan status kelahirannya, sebaliknya dipilih mengikut kepentingan klan Fujiwara. Malahan apabila seseorang maharaja itu mencapai usia 30an, mereka digalakkan atau bahkan dipaksa untuk turun takhta demi menaikkan maharaja yang lebih muda. Misalnya, Fujiwara Yoshifusa menabalkan cucunya yang berusia tujuh tahun pada 858 M dan kemudian menjawat kedudukan sebagai pemangkunya. Ramai menteri dari kalangan Fujiwara bertindak selaku pemangku buat tiga atau empat orang maharaja sepanjang karier mereka.

Walau bagaimanapun, dominasi klan Fujiwara ini tidaklah bersifat total dan tidak juga berlaku tanpa persaingan. Maharaja Shirakawa (memerintah 1073-1087 M) berusaha untuk membebaskan diri dari cengkaman Fujiwara dengan bertindak turun takhta pada tahun 1087 M dan menaikkan puteranya, Horikawa yang pemerintahannya terus dipantau oleh beliau. Strategi 'maharaja bersara' ini dikenali sebagai 'pentadbiran secara sulit' (insei) memandangkan maharaja memantau pentadbiran negara sambil berkurung dalam sebuah biara. Situasi sebegini menambahkan lagi kerumitan dalam sistem pentadbiran yang sudah sedia rumit.

Sambil itu di wilayah-wilayah taklukan pula, kumpulan-kumpulan penggugat kuasa yang baru mula memunculkan diri. Dua kumpulan penting, iaitu klan Minamoto (atau Genji) dan klan Taira (atau Heike) berkembang kuat lantaran mereka dibiarkan sewenangnya, selain dipicu oleh hubungan darah dengan bangsawan rendahan yang terhasil akibat proses pengguguran seseorang kerabat dari jurai keturunan raja-raja (yakni apabila seseorang maharaja atau bangsawan itu mempunyai terlalu ramai anak, anak itu digugurkan sehingga tidak lagi menjadi pewaris keluarga). Bersama barisan samurai yang membentuk pasukan tentera peribadi, mereka menjadi elemen penting dalam pergulatan kuasa antara anggota-anggota klan Fujiwara yang meletus semasa peristiwa Kekacauan Hogen 1156 M dan Kekacauan Heiji 1160 M.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Battles of the Genpei War
Pertempuran Perang Genpei
Ash Crow (CC BY-SA)

Klan Taira yang diketuai oleh Taira no Kiyomori kemudian menyapu bersih kesemua seterunya dan menguasai kerajaan selama dua dekad. Namun sesudah berlakunya Perang Genpei (1180-1185 M), tampuk kuasa diambil-alih oleh klan Minamoto dan semasa pertembungan terakhir dalam Pertempuran Dannoura, Tomamori si ketua klan Taira dan Antoku si maharaja muda bertindak membunuh diri. Susulan daripada itu, maharaja mengurniakan gelaran shogun kepada ketua klan Minamoto yang bernama Yoritomo dan pemerintahan beliau secara rasminya memulakan Zaman Kamakura (1185-1333 M) atau turut dikenali sebagai Keshogunan Kamakura, iaitu era di mana Jepun ditadbir oleh kelas tentera.

Agama Di Zaman Heian

Dalam soal agama, Buddhisme meneruskan dominasinya dengan dibantu oleh sami-sami masyhur seperti Kukai (774-835 M) dan Saicho (767-822 M) yang masing-masing mengasaskan aliran Shingon-Buddhisme dan Tendai-Buddhisme. Melalui kunjungan-kunjungan mereka ke China, sami-sami ini kemudiannya membawa pulang idea-idea, amalan-amalan, dan teks-teks agama yang baru, khususnya Sutra Teratai (Hokke-kyo) yang mengandungi ajaran-ajaran baru iaitu terdapat banyak jalan yang berbeza namun sama dalam mencapai pencerahan dalam agama. Begitu juga dengan ajaran tentang Amida (Amitabha), iaitu Buddha dari Buddhisme Tanah Murni yang dipercayai berupaya membantu para pengikutnya menempuh jalan yang sukar tersebut.

Penyebaran agama Buddha banyak dibantu oleh naungan kerajaan. Namun, maharaja tetap mengambil sikap berawas terhadap pengaruh yang dimiliki oleh sami-sami Buddha memandangkan mereka secara tidak langsung membentuk entiti-entiti politik yang cukup berkuasa dalam kerajaan. Walaupun golongan sami diharamkan untuk memikul senjata dan membunuh, mereka lazimnya mengupah sami-sami baru atau mengambil pasukan tentera upahan untuk berperang bagi pihak mereka dalam menentang golongan bangsawan, pengusaha-pengusaha tanah, pasukan tentera diraja mahupun persendirian, maharaja dan bekas-bekas maharaja, lanun-lanun, dan klan-klan yang saling bersengketa yang kesemuanya ini mewabak dalam lanskap politik di Zaman Heian.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Sutra Inscribed Tablet
Tablet Bertulis Sutra
James Blake Wiener (CC BY-NC-SA)

Prinsip-prinsip Konfusian dan Taoisme juga terus mempunyai pengaruh dalam pemerintahan usat, sambil ajaran Shinto dan animisme pula terus dipegangi masyarakat kebanyakan dengan kuil-kuil Shinto seperti Kuil Besar Ise kekal menjadi tempat kunjungan suci yang penting. Kesemua agama ini diamalkan secara bersama bahkan oleh satu-satu individu, baik maharaja mahupun petani marhaen.

Hubungan Dengan China

Selepas menghantar perutusan ke istana Tang buat kali terakhir pada tahun 838 M, tiada lagi hubungan diplomatik rasmi antara Jepun dan China memandangkan Jepun mengamalkan dasar tertutup dan tidak mempunyai sebarang keperluan untuk mempertahankan sempadannya atau melancarkan penaklukan ke atas negara-negara jiran. Walau bagaimanapun, aktiviti perdagangan dan pertukaran budaya secara tidak rasmi dengan China tetap berterusan sama seperti waktu-waktu sebelumnya. Antara barangan yang dibawa masuk dari China adalah ubat-ubatan, kain sutera, senjata, baju pelindung, dan alat muzik. Jepun pula menghantar barangan seperti mutiara, habuk emas, batu anbar, sutera mentah, dan perkakas lakuer yang bersepuh.

Selain itu, golongan sami, cendekiawan, ahli muzik, dan karyawan turut dihantar ke China bagi mempelajari kebudayaan mereka yang dianggap lebih maju, seperti seni lukisan mahupun teknik perubatan, untuk kemudiannya dibawa pulang dan disebarkan ke tanah air. Penuntut-penuntut ilmu juga lazim membawa diri ke China dan meluangkan masa selama beberapa tahun bagi mempelajari istiadat pentadbiran mereka. Begitu juga dengan buku, di mana ia turut dibawa masuk ke negara Jepun. Misalnya, terdapat sebuah katalog bertarikh 891 M yang menyenaraikan lebih 1700 buah buku China yang terdapat di Jepun, di mana ianya merangkumi bidang sejarah, puisi, protokol istana, perubatan, perundangan, dan klasik Konfusian. Walaupun berlaku sahaja pertukaran-pertukaran budaya dan idea sebegini, kurangnya perutusan diplomatik antara kedua-dua negara tersebut sejak kurun ke-10 M membuatkan pengaruh budaya China dalam kalangan masyarakat tempatan kian menyusut sepanjang berlangsungnya Zaman Heian. Dalam erti kata lain, budaya Jepun yang unik dan tersendiri mula terbentuk dan berkembang.

Kebudayaan Di Zaman Heian

Zaman Heian meraih keunggulannya yang tersendiri berkat pencapaiannya dalam bidang kebudayaan, setidak-tidaknya dalam lingkungan penghuni istana. Antara pencapaian tersebut termasuklah penciptaan sistem tulisan Jepun (kana) yang menggunakan aksara-aksara China di mana hal ini membolehkan novel pertama dunia dihasilkan, iaitu Hikayat Genji yang dikarang oleh Murasaki Shikibu (c. 1020) dan beberapa buah diari (nikki) yang ditulis oleh wanita-wanita istana, termasuklah Buku Bantal oleh Sei Shonagon yang disiapkan c. 1002 M. Karya-karya masyhur lain dari zaman ini antaranya ialah Diari Izumi Shikibu, Kagero nikki oleh Fujiwara no Michitsuna, dan Hikayat Keberuntungan Yang Mekar oleh Akazome Emon.

Tale of Genji Illustration
Ilustrasi Kisah Genji
Unknown Artist (Public Domain)

Suburnya karya penulisan dari kaum wanita pada Zaman Heian adalah disebabkan klan Fujiwara memastikan wanita-wanita istana mereka dibekalkan dengan pendidikan yang cukup dan pengiring yang terampil demi menarik perhatian maharaja sekaligus menjamin penguasaan mereka dalam urusan hal-ehwal negara. Sementara itu, kaum lelaki pula tidak begitu berminat dengan penulisan diari dan ulasan tentang kehidupan di istana, justeru membuatkan bidang tersebut terbuka untuk diceburi oleh penulis-penulis wanita yang secara kolektif berjaya menghasilkan sebuah genre kesusasteraan baru yang memerihalkan sifat kehidupan yang sementara, di mana hal ini diabadikan menerusi ungkapan mono no aware (kesedihan atau belas kasihan terhadap sesuatu). Kaum lelaki yang menulis karya sejarah pula kebiasaannya menulis secara rahsia atau bahkan menukar identiti menjadi seorang wanita, seperti Ki no Tsurayuki dalam memoir pengembaraannya, Tosa nikki.

Walau bagaimanapun, ada juga kaum lelaki yang mengarang puisi dan antologi puisi Jepun pertama yang dibiayai oleh kerajaan, iaitu Kokinshu ('Koleksi Masa Silam dan Masa Kini') berjaya dikeluarkan pada tahun 905 M. Karya tersebut merupakan koleksi puisi oleh penulis lelaki mahupun wanita dan ia dikompilasikan oleh Ki no Tsurayuki yang dengan masyhur menyatakan, “Benih-benih puisi Jepun tumbuh dalam jiwa manusia” (Ebrey, 199).

Selain seni kesusasteraan, zaman ini juga menyaksikan penghasilan pakaian istana yang diperbuat daripada kain sutera dan broked China. Seni-seni visual pula dipersembahkan melalui lukisan-lukisan kain, skrol-skrol bergambar dan berteks (e-maki), dan kaligrafi halus. Reputasi seseorang bangsawan bukan sekadar dilihat melalui kedudukannya dalam istana, tetapi dilihat juga pada minatnya terhadap hal-hal sebegini serta bakatnya dalam mengarang puisi, bermain muzik, menari, bermain permainan papan seperti go, dan memanah.

Golongan pelukis dan pengukit patung lazim menggunakan unsur-unsur ajaran Buddha sebagai inspirasi dalam menghasilkan patung-patung kayu (baik ianya dicat mahupun dibiarkan dengan warna aslinya), lukisan gambar cendekia, loceng-loceng yang disepuh gangsa, patung-patung batu Buddha, cermin gangsa, dan bekas-bekas lakuer untuk menyimpan sutra-sutra yang kesemuanya ini membantu dalam menyebarkan gambaran tentang aliran-aliran agama baru di sekitar Jepun. Berikutan tingginya permintaan terhadap hasil-hasil seni, maka buat pertama kalinya muncul kelas karyawan profesional di mana sebelum ini hasil-hasil seni dihasilkan oleh sami-sami terpelajar. Aktiviti melukis juga dijadikan sebagai aktiviti masa senggang pilihan buat golongan bangsawan.

Secara bertahap tetapi pasti, pendekatan yang lebih berunsurkan Jepun mula mengembangkan cakupan karya-karya seni mereka. Satu gaya seni unik Jepun yang disebut sebagai Yamato-e berkembang secara khusus dalam seni lukisan sekaligus membezakannya dari karya-karya China. Antara ciri-ciri Yamato-e antaranya adalah garisan sudut yang lebih banyak, penggunaan warna yang lebih terang, dan pemerincian yang lebih teliti. Hasil-hasil seni seperti potret-hidup tokoh-tokoh istana sebagaimana yang dihasilkan oleh Fujiwara Takanobu, ilustrasi-ilustrasi yang berinspirasikan karya sastera Jepun, dan lukisan lanskap kian mendapat tempat pada zaman ini sekaligus ia merintis jalan kepada penghasilan karya-karya yang lebih hebat pada zaman pertengahan yang bakal menyusul.

This content was made possible with generous support from the Great Britain Sasakawa Foundation.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Mark Cartwright
Mark merupakan seorang penulis sejarah yang berpangkalan di Itali. Minat-minat khususnya merangkumi seni penghasilan tembikar, seni bina bangunan, mitologi dunia, dan merungkai faham-faham yang dikongsi oleh kesemua tamadun. Beliau mempunyai kelulusan peringkat MA dalam bidang Falsafah Politik dan bertugas sebagai Pengarah Penerbitan di WHE.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Cartwright, M. (2017, May 05). Zaman Heian [Heian Period]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15937/zaman-heian/

Gaya Chicago

Cartwright, Mark. "Zaman Heian." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai May 05, 2017. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-15937/zaman-heian/.

Gaya MLA

Cartwright, Mark. "Zaman Heian." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 05 May 2017. Web. 01 May 2024.