Ancient History Encyclopedia has a new name!

We are now World History Encyclopedia to better reflect the breadth of our non-profit organization's mission. Learn More

Asia Kecil

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
disiarkan pada 04 May 2018

Teks asal dalam Bahasa Inggeris: Asia Minor

The Regions of Ancient Anatolia (by Emok, CC BY-SA)
The Regions of Ancient Anatolia
by Emok (CC BY-SA)

Asia Kecil di zaman purba merupakan sebuah wilayah geografi yang terletak di bahagian barat daya Asia, yang kebanyakannya terdiri daripada Turki moden. Sebutan pertama berkenaan rantau ini boleh ditemukan pada tablet-tablet Dinasti Akkadia (2334-2083 Sebelum Masihi), di mana ia dikenali sebagai ‘Tanah Hatti’ dan dihuni oleh bangsa Het (Hittite). Bangsa Het pula memanggil rantau tersebut sebagai ‘Assuwa’ (atau, lebih awal, Aswiya), di mana sebenarnya ia hanya meliputi kawasan sekitar delta sungai Cayster. Namun pada masa yang terkemudian, istilah tersebut digunakan bagi merujuk seluruh rantau itu. Assuwa dari Zaman Gangsa ini dianggap sebagai asal-usul bagi nama ‘Asia’, sebagaimana yang diperincikan oleh bangsa Rom tentang rantau tersebut. Masyarakat Yunani pula memanggilnya sebagai ‘Anatolia’ (secara harfiah bermaksud ‘tempat terbit matahari’, di wilayah-wilayah timur Greece).

Nama & Daerah-Daerah

Nama ‘Asia Kecil’ (Asia Minor, daripada bahasa Yunani iaitu, ‘Mikra Asia’ – Asia Kecil) kali pertama digunakan oleh seorang sejarahwan Kristian, iaitu Orosius (sekitar 375-418 Masihi) dalam karyanya, Seven Books of History Against the Pagans pada tahun 400 Masihi bagi membezakan antara tanah besar Asia dan rantau yang telah pun di-Kristian-kan oleh Paul Si Hawari (merangkumi tapak-tapak yang dikenali dari Surat Paul dalam Bible sebagai Ephesus dan Galicia). Empayar Byzantine dari kurun ke-9 Masihi pula memanggil rantau tersebut sebagai ‘Thema Timur’, yang secara ringkas membawa maksud ‘Pecahan Pentadbiran Sebelah Timur’, dan para kelasi di zaman terkemudian memanggilnya sebagai ‘Levant’ yang bermaksud ‘bangkit’ atau ‘membangkit’. Hal ini merujuk kepada bagaimana daratan di situ menaik tinggi di ufuk laut.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Dalam dunia purba, Asia Kecil merupakan tempat lahirnya kerajaan dan kota-kota:

  • Thrace
  • Bithynia
  • Paphlagonia
  • Aeloia
  • Phyrgia
  • Galicia
  • Pontus
  • Armenia
  • Urartu
  • Assyria
  • Cilicia
  • Pamphylia
  • Lycia
  • Pisidia
  • Lycaonia
  • Caria
  • Mysia
  • Ionia
  • Lydia
  • Troy

Tapak-Tapak & Individu-Individu Masyhur

Asia Kecil melahirkan sebahagian daripada individu, tempat & peristiwa paling masyhur dalam sejarah purba.

Pencapaian dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat di Asia Kecil agak meluas dan merangkumi senarai panjang individu, tempat dan peristiwa yang paling masyhur dalam sejarah purba. Menurut sejarahwan Philo dari Byzantium (menulis pada 225 Sebelum Masihi) dan penulis-penulis di zaman terkemudian, Asia Kecil merupakan tempat berdirinya dua dari Tujuh Keajaiban Dunia: iaitu Kuil Artemis di Ephesus (di daerah Ionia) dan Makam Mauslos di Halicarnassus (juga dikenali sebagai Permakaman Halicarnassus, di Carnia). Di kota Miletus yang terletak di Iona, ahli falsafah barat pertama, iaitu Thales dan para pengikutnya, Anaximander dan Anaximenes, mencari Sebab Pertama kejadian, yakni hal yang melahirkan segala sesuatu, serta memulakan pencarian dan kaedah saintifik. Herodotus yang digelari ‘Bapa Sejarah’ dilahirkan di Halicarnassus. Ahli falsafah merangkap ahli matematik ulung, Pythagoras dilahirkan di Pulau Samos sementara Heraclitus, seorang lagi tokoh penting dalam falsafah Yunani, dilahirkan di Ephesus tempat beliau hidup dan menulis. Cilicia, yang merangkumi kota Tarsus tempat Paul Si Hawari dilahirkan, merupakan sebuah rantau yang masyhur dengan penghasilan khemah – dan hal ini adalah pekerjaan Paul sendiri.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Lydian Silver Stater
Lydian Silver Stater
by Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

MITOLOGI & SEJARAH

Lydia merupakan kerajaan yang diperintah oleh Croesus, raja ulung yang menafikan Empayar Achaemenid-Parsi pimpinan Cyrus Agung. Beliau didakwa sebagai lelaki yang paling bahagia di dunia sebelum kekalahan dan penangkapannya di tangan tentera Parsi. Dalam mitologi Yunani, Lydia juga merupakan tempat di mana Titan yang bernama Asia menetap dan lebih awal daripada itu, tempat di mana dewi ibunda Potnia Aswiya (Puan Assuwa) dipuja (yang menjadi Artemis dan kuilnya didedikasikan di ibu kota Lydia, Ephesus). Phyrgia pula adalah tempat kelahiran Rhea, si Dewi Ibunda Yunani sementara Kota Troy pula dimasyhurkan oleh Homer di dalam dua buah karya kurun ke-8 Sebelum Masihi beliau, iaitu Iliad dan Odyssey. Rantau Asia Kecil dianggap sebagai tanah kelahiran matawang syiling sekaligus rantau pertama yang menggunakan matawang syiling dalam urusan perdagangan; namun, kerajaan pertama yang berbuat demikian masih diperdebatkan sehingga kini.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Pengkoloni-pengkoloni Yunani menetap di tepi pantai Asia Kecil, dari Mediterranean hinggalah Laut Hitam.

Pada tempoh antara 1250 dan 1200 Sebelum Masihi, Orang-Orang Laut menyerang dari selatan dan menceroboh Greece, lalu mengganggu Mesir dan akhirnya mengusir bangsa Het dari rantau Assuwa. Namun, Orang-Orang Laut ini tidak menghuni tempat itu secara kekal lantaran mereka kemudian berpindah ke selatan, di Kan’an. Pengkoloni-pengkoloni Yunani, terutama dari Athens dan sekitar Attica, kemudiannya menetap di pantai Asia Kecil, merangkumi Mediterranean hinggalah Laut Hitam. Koloni-koloni di Ionia inilah yang disokong dan didanai oleh Athens dan Eretria, sekaligus mendorong kepada penentangan mereka terhadap kekuasaan Parsi yang mengawal kawasan tersebut. Hal ini sekaligus mengundang kemurkaan raja Parsi, Darius I dan membawa kepada serangan pertama ke atas Greece pada tahun 490 Sebelum Masihi di mana ia berjaya dipatahkan dalam Pertempuran Marathon.

Library of Celsus, Ephesus
Library of Celsus, Ephesus
by Mark Cartwright (CC BY-NC-SA)

Pada tahun 334-333 Sebelum Masihi, Alexander Agung menewaskan Parsi dan menakluki Asia Kecil. Di Gordium yang merupakan ibu kota Phyrgia, beliau dikatakan bertindak memotong Simpulan Gordian, di mana ramalan menafsirkan hal ini sebagai petanda Alexander bakal menjadi raja Asia. Selepas kemangkatan beliau, wilayah kekuasaannya di utara dan barat ditadbir oleh panglimanya yang bernama Antigonus I manakala Seleucus I Nicator mentadbir wilayah selatan dan timur serta terlibat secara aktif dalam Perang Diodachi (perang para pengganti Alexander). Rantau tersebut kekal dalam keadaan yang tidak stabil sepanjang pemerintahan para gabenor Hellenistik sehinggalah ketibaan Rom pada tahun 133 Masihi (Raja Attalus III dari Pergamon menyerahkan kotanya kepada Republik Rom dalam wasiatnya justeru menjemput kehadiran Rom di rantau itu). Selepas tahun 133 Masihi, Rom secara stabil menakluk atau menyerap kota-kota Asia Kecil sehingga ia sepenuhnya menjadi wilayah Rom.

Di bawah pemerintahan Rom, tanah ini memperoleh kestabilan; jalan raya dibina dan infrastruktur kebanyakan kota ditambah baik. Komuniti-komuniti pantai pula meraih kepesatan dan Ephesus secara khusus menikmati kemewahan besar sehinggalah berlaku kebangkitan Kristian, di mana kemajuan ‘dunia’ di rantau tersebut ditinggalkan berikutan Kedatangan Kedua Christ. Empayar Byzantine menguasai wilayah itu sesudah ketumbangan Empayar Rom pada tahun 476 Masihi, dan setelah berlakunya kebangkitan Islam, Kristian-Byzantine berebutkan kekuasaan ke atas rantau itu dengan Kekhalifahan Islam sehinggalah ketibaan Seljuq-Turk pada tahun 1068 Masihi. Kekuasaan Turki di rantau itu terus berleluasa sehingga tahun 1299 Masihi, iaitu apabila Asia Kecil menjadi sebahagian daripada Empayar Uthmaniyah dan, sesudah kejatuhannya, menjadi sebahagian daripada Turki.

Sisihkan Iklan

Advertisement

Sisihkan Iklan

Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
A freelance writer and translator at The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur.

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
A freelance writer and former part-time Professor of Philosophy at Marist College, New York, Joshua J. Mark has lived in Greece and Germany and traveled through Egypt. He has taught history, writing, literature, and philosophy at the college level.