Halicarnassus

Inti Sari

Joshua J. Mark
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 29 June 2023
X
translations icon
Terdapat dalam bahasa lain: Bahasa Inggeris, Perancis, Parsi, Sepanyol, Turki
Lion from the Mausoleum at Halicarnassus (by Bigdaddy1204, Public Domain)
Singa dari Makam di Halicarnassus
Bigdaddy1204 (Public Domain)

Halicarnassus (Bodrum, Turki moden) merupakan sebuah kota Yunani-Ionia purba di Caria, yang terletak di Teluk Cerameicus, Anatolia. Menurut sumber tradisi, kota Halicarnassus ditubuhkan oleh suku Doria yang berasal dari Peloponnese. Herodotus, tokoh kelahiran Halicarnassus yang paling masyhur, mencatatkan bahawa pada zaman awal, kota tersebut mengambil bahagian dalam keraian Apollo yang disambut oleh suku Doria di Triopion. Namun, kebudayaan dan kesusasteraan Halicarnasuss hakikatnya lebih bercirikan Ionia. Hal ini dapat dilihat menerusi karya Histories milik Herodotus yang ditulis dalam bahasa Yunani-Ionia. Memandangkan Halicarnassus merupakan kota kelahiran Herodotus si 'Bapa Sejarah', maka ia dianggap sebagai tempat lahirnya sejarah bertulis. Bagaimanapun pada zamannya, Halicarnassus lebih masyhur sebagai salah sebuah pusat perdagangan utama di Asia Kecil. Menukil penulisan Will Durant:

Pencapaian teragung prosa zaman Periclean adalah sejarah. Kurun kelima adalah saat di mana sejarah lampau mula disusun secara teratur, dan pandangan alam manusia cuba dibentuk. Dalam keperibadian Herodotus, historiografi tampil dengan segala tarikan dan semangat kemudaan(430).

Bersama pelabuhan dan kedudukannya yang strategik di laluan laut yang penting, Halicarnassus berkembang menjadi ibu kota bagi sebuah kerajaan kecil yang pernah diperintah oleh seorang raja masyhur bernama Raja Mausolus. Selepas Mausolus mangkat, isterinya yang bernama Artemisia membangunkan sebuah makam besar khusus untuknya. Makam ini dikenali sebagai Makam Halicarnassus yang diperakui sebagai salah sebuah dari Tujuh Keajaiban Dunia Purba. Will Durant menulis:

Sisihkan Iklan
Advertisement

Mahakarya bagi kurun ini [kurun ke-4 SM] adalah makam agung yang dibina khusus untuk raja Mausolus dari Halicarnassus. Di atas kertas, beliau adalah seorang satrap bagi Parsi. Akan tetapi, Mausolus secara peribadi melebarkan kekuasaannya hingga ke Caria dan sebahagian wilayah Ionia dan Lycia. Beliau juga menggunakan kekayaan peribadinya untuk menubuhkan armada perang dan memperindah ibu kotanya (494).

Di bawah pemerintahan Artemisia & Mausolus, kota Halicarnassus mengalami pembaharuan besar terutama dari segi seni bina & infrastuktur, selaras hasrat mereka berdua yang ingin menjadikannya sebagai permata Anatolia.

Di bawah pemerintahan Artemisia dan Mausolus, kota Halicarnassus mengalami pembaharuan besar terutama dari segi seni bina dan infrastuktur, selaras hasrat mereka berdua yang ingin menjadikannya sebagai permata Anatolia. Banyak projek pembinaan dijalankan, melibatkan tembok besar, bangunan-bangunan awam, limbungan kapal, dan terusan. Begitu juga dengan rangkaian jalan dan kuil-kuil yang dibangunkan khusus untuk dewa-dewi.

Pada tahun 334 SM, kota Halicarnassus dikepung oleh Alexander Agung. Dalam peristiwa tersebut, beliau hampir mengalami kekalahan (satu-satunya kekalahan buat beliau). Namun pada saat-saat akhir, pasukan infantrinya berjaya menembusi tembok pertahanan kota dan membakar kapal-kapal Parsi. Sejurus menyedari keadaan kota yang kian tumbang ke tangan musuh, Memnon dari Rhodes sebagai komander Parsi pun membakar hangus kota Halicarnassus lalu lari menyelamatkan diri. Kebakaran ini memusnahkan hampir keseluruhan kota tersebut. Setelah menakluki Halicarnassus, Alexander melantik sekutunya, Ada dari Caria, sebagai pentadbir kota itu. Imbalannya, Ada menjadikan Alexander sebagai anak angkat supaya darah diraja beliau dapat terus mengalir sebagai pemerintah Halicarnassus

Sisihkan Iklan
Advertisement

Bagaimanapun, sesudah kemangkatan Alexander, pentadbiran Halicarnassus diambil-alih oleh Antigonus I (311 SM), Lysimachus (sesudah 301 SM), dan raja-raja dari Dinasti Ptolemy (281-197 SM). Kemudian, Halicarnassus sempat menjadi sebuah kerajaan merdeka yang berkuasa sehingga tahun 129 SM, iaitu tahun di mana ia berada di bawah pemerintahan Rom. Kota Halicarnassus secara umum dan Makam Mausolus secara khusus kemudian mengalami kerosakan akibat gempa bumi yang berlaku dari semasa ke semasa. Keadaan semakin diburukkan oleh serangan dari lanun-lanun yang datang dari Mediterranean.

Menjelang era awal Kristian, iaitu saat di mana Halicarnassus menjadi pusat Biskop yang penting, kota tersebut tidak lagi mempunyai banyak mercu tanda. Pada tahun 1404 M, Kesatria St. John menggunakan puing-puing runtuhan Makam Halicarnassus untuk membangunkan istana mereka di Bodrum (yang masih wujud sehingga hari ini). Runtuhan kota tersebut kemudian diekskavasi secara lanjut pada 1856-57 M dan kali keduanya pada 1865 M. Kebanyakan runtuhan tembok, gimnasium, tiang (colonnade), pelantar kuil, makam-makam batu, dan tapak Makam Mausolus (yang berselerakan dengan batu-batu yang tidak digunakan oleh Kesatria St. John) Halicarnassus masih boleh dilihat pada hari ini.

Sisihkan Iklan
Advertisement

Terjemahan ini adalah berdasarkan versi lama definisi. Jika anda ingin menterjemah versi baharu, sila hubungi kami.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Darihal Penulis

Joshua J. Mark
Penulis bebas dan bekas Pensyarah Falsafah separuh-masa di Kolej Marist, New York. Joshua J. Mark menetap di Greece dan Jerman dan pernah mengembara ke Mesir. Beliau mengajar sejarah, penulisan, kesusasteraan, dan falsafah pada peringkat kolej.

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Mark, J. J. (2023, June 29). Halicarnassus [Halicarnassus]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-348/halicarnassus/

Gaya Chicago

Mark, Joshua J.. "Halicarnassus." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai June 29, 2023. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-348/halicarnassus/.

Gaya MLA

Mark, Joshua J.. "Halicarnassus." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 29 Jun 2023. Web. 23 Apr 2024.